Pages

Sunday, July 4, 2010

lif, Laam, Raa`. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya. (1) (Al-Quran yang demikian sifatnya diturunkan oleh Allah) supaya janganlah kamu menyembah sesuatupun melainkan Allah. (Katakanlah wahai Muhammad): Sesungguhnya aku diutus oleh Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman). (2) Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). (3) Kepada Allah jualah kembalinya kamu dan Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (4) Ketahuilah! Sesungguhnya mereka yang ingkar itu membongkokkan badan mereka untuk menyembunyikan (perasaan buruk yang ada dalam dada mereka) daripada Allah. Ketahuilah! Semasa mereka berselubung dengan pakaian mereka sekalipun, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan; sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. (5) Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). (6) Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu) untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) berkata: Bahawa kamu akan dibangkitkan hidup kembali sesudah mati tentulah orang-orang yang ingkar akan berkata: Ini tidak lain, hanyalah seperti sihir yang nyata (tipuannya). (7) Dan demi sesungguhnya! Jika kami tangguhkan azab daripada menimpa mereka hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah mereka akan berkata (secara mengejek): Apakah yang menghalangnya? Ketahuilah! Pada hari datangnya azab itu kepada mereka, tidak akan dapat ditolak daripada menimpa mereka dan tentulah mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu. (8) Dan demi sesungguhnya! Jika Kami rasakan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, mendapati dia amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur. (9)Dan demi sesungguhnya! Kalau Kami memberinya pula kesenangan sesudah dia menderita kesusahan, tentulah dia akan berkata: Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku.

Tanggapan Silap tentang Tasawuf

Permasalahan yang timbul ialah golongan remaja menulis di dalam blog-blog peribadi mereka bahawa mata pelajaran Tasawuf sudah dipelajari di peringkat sekolah. Oleh itu, ianya tidak perlu diperdebatkan lagi. Pada pandangan golongan remaja ini subjek Tasawwur Islam itu adalah Tasawuf. Kedua-duanya sama.

Tambahan pula mereka membaca di media-media tabloid ungkapan-ungkapan tasawuf sesat, ajaran tasawuf menyeleweng dan sebagainya, maka ia sedikit sebanyak menambahkan lagi kecurigaan mereka terhadap istilah tasawuf tanpa mengetahui maksud sebenar.

Apa yang dipelajari di sekolah berkaitan subjek Tasawwur Islam dilihat berbeza dengan ajaran Tasawuf. Mereka melihat di dalam amalan golongan Tasawuf seperti berzikir beramai-ramai, beruzlah di dalam hutan, berpakaian compang-camping amat berbeza dengan sukatan yang mereka pelajari di sekolah. Oleh itu, mereka secara langsung menyimpulkan ajaran Tasawuf sebegini sesat.

Hal ini amatlah mendukacitakan walaupun yang beranggapan demikian bukanlah menjangkau angka majoriti. Kami melihat, perkara kecil ini suatu yang membahayakan kerana ia boleh menimbulkan sedikit rasa buruk sangka kepada golongan-golongan pengamal tasawuf.

Perkara ini akan menjadi lebih bahaya kepada golongan belia muslim khususnya yang tidak mempunyai pengetahuan asas tentang agama dan bukan berpendidikan aliran agama. Kita bimbang mereka membesar dengan mempunyai tanggapan negatif terhadap tasawuf.

Kita juga amat bimbang apabila golongan belia ini lebih dahulu mengenali konspirasi dari mengenal ilmu tasawuf.

Ilmu Tasawuf dan Pendidikan Kebangsaan

Sesetengah remaja atau belia (mungkin juga golongan tua sekular) suka beranggapan bahawa ilmu tasawuf sudah pun dipelajari diperingkat sekolah. Mereka mengandaikan mata pelajaran Tasawwur Islam yang terdapat pada tinggkatan 4 dan 5 itu adalah ilmu Tasawuf.

Suka kami tegaskan di sini, Tasawwur Islam bukanlah Tasawuf. Ia seperti langit dan bumi.

Tassawur Islam adalah nama mata pelajaran Elektif yang ditawarkan oleh Kementerian Pendidikan Kebangsaan. Pelajar bukan Islam juga boleh menduduki peperiksaan untuk mata pelajaran ini. Manakala Tasawuf pula adalah nama salah satu dari tiga cabang agama Islam.

Islam terdiri daripada tiga tiang agama iaitu Tauhid, Fekah dan Tasawuf. Seseorang Muslim hendaklah mempelajari agama Islam mengikut turutan ketiga-tiga ini. Pertama memahami dan mengenal Tuhan melalui kitab-kitab Tauhid, kedua, mempelajari Fekah dan ketiganya menyempurnakan dan melindungi kedua-dua ilmu Tauhid dan Fekah tadi dengan ilmu Tasawuf.

Perbezaan Takrifan Tasawwur Islam dan Tasawuf

Di dalam hal pentakrifan, kedua-duanya mempunyai maksud yang sangat berbeza. Tasawwur berasal di dalam istilah Melayunya bermaksud Gambaran (jika huruf shod disabdukan). Tetapi di dalam kamus Dewan edisi Arab-Melayu,tasawwur diistilahkan dengan maksud yang berbeza iaitu lebih kepada suatu aspek psikologi.

Bagi perkataan Tasawuf pula, ia berasal dari tiga huruf utama shod, wawdanfaa. Ketiga-tiga ini membentuk perkataan yang berbunyi shofa (bersih) atausufi(suci). Maka istilah Tasawuf adalah kalimah yang telah menerima imbuhan yang membawa kepada istilah khusus untuk ilmu-ilmu kejiwaan.

Ilmu tasawuf juga dikenali dengan pelbagai istilah seperti ilmu ma’rifah, ilmu batiniah, ilmu al-qulub, ilmu al-hal, ilmu al-yaqin dan sebagainya.

Intisari perbezaan ilmu Tasawwur Islam dengan Tasawuf

  • Sukatan pelajaran Tasawwur Islam boleh berubah-ubah mengikut masa dan ia dibina oleh guru-guru agama berpengalaman dan bukan bertaraf Ulama dan wali.
  • Berbeza dengan ilmu Tasawuf, ia menekankan praktikal kejiwaan, amalan zikir berjemaah, pengijazahan tarekat dan pelbagai lagi amalan hati yang sangat-sangat jarang diketemukan.
  • Ilmu tasawuf dibina intisarinya oleh ulama-ulama yang mursyid, mujahid, wali dan majoritinya adalah golongan yang sangat makbul doa mereka dan dilimpah kurnia karamah yang banyak tidak sebagai mana orang-orang awam. Misalnya Ibnu Arabi, Ibnu ‘Atiullah, Imam Al-Ghazali, Syeikh Muhammad Amin Al-Kurdi, Syeikh Qadir Al-Jailani, Syeikh Abdullah Daud Al-Fatani.
  • Sebahagian besarnya juga pernah berjumpa Rasulullah SAW, Nabi Khidir secara sedar dan mimpi mengikut tahap kewalian masing-masing.
  • Pengamal ilmu tasawuf secara intensif seringkali dihadiahkan Allah keramat-keramat yang tidak dipunyai oleh orang awam manakala pelajar yang mempelajari subjek Tasawwur Islam adlaah bagi tujuan pemahaman dan peperiksaan sahaja.

Silap Faham Terhadap Ahli Tasawuf

Sesetengah orang menganggap golongan tasawuf sangat bahaya dan suka mengintai isi hati orang. Sebenarnya bukanlah tujuan pengamal tersebut untuk membaca isi hati orang tetapi ia adalah anugerah Allah kepada si pengamal di atas kesungguhannya beribadah dalam mendekati Allah.

Ahli Tasawuf juga martabatnya lebih tinggi dari Ahli Fekah kerana seluruh kehidupannya berfokus pada menumpu pengabdian diri kepada Allah semata.

Hatta Imam Syafie r.a. sekali pun ada ketikanya bila menghadapi masalah dalam menyelesaikan masalah-masalah fiqh, beliau akan mencari ulama-ulama sufi untuk menenangkan jiwa.

Malah menurut Syeikh Abu Talib Makki dalam kitab masyurnya, Qutul-Qulub, para ulama zahir apabila menghadapi masalah dalam menentukan hukum (masalah fiqh) maka mereka akan merujuk masalah tersebut kepada ulama tasawuf, sebab golongan ini dianggap lebih hampir kepada hidayah, jauh dari maksiat dan tidak dikuasai nafsu.

Tidak Semua Guru Agama Belajar Tasawuf Secara Praktikal

Seperti pada artikel terdahulu, hal-hal tasawuf janganlah ditanya di dalam internet walaupun ada ustaz-ustaz yang membuka blog untuk ruangan bertanya. Kita bimbang ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasi jawapan yang boleh mengelirukan pemahaman belia tentang tasawuf.

Pada pandangan kami, jika seseorang ahli agama itu benar-benar mendalami ilmu tasawuf maka ia tidak akan sesekali membuka ruang soal jawab di internet.

Semua orang menganggap apabila seseorang itu bergelar ustaz atau ustazah maka semua ilmu agama akan dipelajarinya. Hendaklah kalian berhati-hati dalam hal ini kerana hal yang demikian bisa mendatangkan ketaksuban yang tidak terperi kesannya pada kehidupan si penanya.

Kami tidak nafikan ada sesetengah guru agama menjadi penyebab utama kepada ketidakfahaman belia kepada ilmu tasawuf. Kami berani katakan hanya 0.01 peratus guru berpendidikan agama di Malaysia termasuk lepasan Timur Tengah yang belajar ilmu tarekat secara intensif.

Kesimpulan

Kesimpulannya, Tasawwur Islam amat jauh bezanya dengan ilmu Tasawuf walaupun subjek Tasawwur Islam itu juga dinisbahkan ia dalam bab ilmu-ilmu pengetahuan. Namun begitu, tingkatan ilmu dan taraf kemuktabaran ilmu itu haruslah difahami terlebih dahulu.

Wallahu’alam…

No comments:

Post a Comment